Thursday 18 July 2013

Lestari Cemerlang

Pada 29 Jun 2013 yang lalu berakhirlah kerjasama syarikat MNRB dan pihak SMK Slim di mana pihak PSS juga turut bergiat aktif dalam menjana aktiviti untuk para pelajar berdasarkan bantuan yang di terima.
Menerusi program yang dijalankan sejak 2011 itu, MNRB memberi sokongan padu terhadap pelaksanaan pelbagai program berbentuk akademik termasuk Hari Anugerah Cemerlang, baru-baru ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
Manakala, majlis penutupan Program Lestari Cemerlang yang turut diadakan pada masa sama bertujuan mengiktiraf dan berterima kasih kepada MNRB yang membantu sekolah menyediakan kemudahan pembelajaran kepada pelajar.

Pengetua SMK Slim River, Siti Mariam Junid berkata, menerusi sumbangan khidmat komuniti itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan sekali gus meningkatkan lagi pencapaian pelajar dalam aspek kokurikulum dan akademik.

“Sokongan ini bukan saja meringankan bebanan sekolah, malah memberi peluang pelajar memperbaiki diri terutama pencapaian akademik.

“Terima kasih kerana melalui sokongan ini juga berjaya melahirkan pelajar cemerlang yang menjadi kebanggaan semua,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Mohd Nizar Zakaria, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad, Din Marican dan Timbalan Pengarah Pelajaran, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Md Lazim Idris.

Program diserikan dengan persembahan tarian Melayu tradisional, persembahan koir serta kehadiran pelajar cemerlang SPM tahun lalu, Nur Hanida Azera Shahidan yang juga dinobatkan Tokoh Pelajar 2012.

Guru yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum turut menerima sijil penghargaan.

Sepanjang tempoh program Lestari Cemerlang, pelbagai program akademik dijalankan termasuk kelas tambahan, kem motivasi, penyediaan set ulangkaji sekolah serta sumbangan komputer dan penajaan pakaian sukan.

Menerusi sokongan itu sekolah berkenaan meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan utama ke tahap membanggakan.

Nur Hanida Azera yang memperoleh 9A, berkata program itu banyak membantunya mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM.

“Program ini bersistematik dan banyak membantu saya memperoleh pelbagai ilmu serta memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Anugerah ini memberi motivasi kepada saya untuk terus mencipta kejayaan dan mengejar cita-cita sebagai doktor,” katanya yang kini sedang mengikuti kursus Program Asasi Sains di Universiti Malaya.

Program Lestari Cemerlang akan diteruskan di SMK Undang Jelebu, Kuala Klawang, Negeri Sembilan selepas ini.


Sumber : Harian Metro
              Guru PSS Pn. Noor Fariza Abdul Rahman menerima hadiah penghargaan.

                                        Pengetua SMK Slim Pn. Hjh> Siti Mariam Bt Hj. Joned

                                                                    Koir SMK SLIM


                                                         Berita berkaitan di Harian Metro

No comments:

Post a Comment