Pada 29 Jun 2013 yang lalu berakhirlah kerjasama syarikat MNRB dan pihak SMK Slim di mana pihak PSS juga turut bergiat aktif dalam menjana aktiviti untuk para pelajar berdasarkan bantuan yang di terima.
Menerusi program yang dijalankan sejak 2011 itu, MNRB memberi
sokongan padu terhadap pelaksanaan pelbagai program berbentuk akademik
termasuk Hari Anugerah Cemerlang, baru-baru ini bertujuan memberi
pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
Manakala, majlis penutupan Program Lestari Cemerlang yang turut
diadakan pada masa sama bertujuan mengiktiraf dan berterima kasih kepada
MNRB yang membantu sekolah menyediakan kemudahan pembelajaran kepada
pelajar.
Pengetua SMK Slim River, Siti Mariam Junid berkata,
menerusi sumbangan khidmat komuniti itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan
sekali gus meningkatkan lagi pencapaian pelajar dalam aspek kokurikulum
dan akademik.
“Sokongan ini bukan saja meringankan bebanan sekolah, malah memberi
peluang pelajar memperbaiki diri terutama pencapaian akademik.
“Terima kasih kerana melalui sokongan ini juga berjaya melahirkan pelajar cemerlang yang menjadi kebanggaan semua,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan
Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Mohd Nizar Zakaria,
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad, Din
Marican dan Timbalan Pengarah Pelajaran, Ketua Sektor Jaminan Kualiti
Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Md Lazim Idris.
Program
diserikan dengan persembahan tarian Melayu tradisional, persembahan koir
serta kehadiran pelajar cemerlang SPM tahun lalu, Nur Hanida Azera
Shahidan yang juga dinobatkan Tokoh Pelajar 2012.
Guru yang
menunjukkan prestasi cemerlang dalam meningkatkan pencapaian akademik
dan kokurikulum turut menerima sijil penghargaan.
Sepanjang
tempoh program Lestari Cemerlang, pelbagai program akademik dijalankan
termasuk kelas tambahan, kem motivasi, penyediaan set ulangkaji sekolah
serta sumbangan komputer dan penajaan pakaian sukan.
Menerusi sokongan itu sekolah berkenaan meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan utama ke tahap membanggakan.
Nur Hanida Azera yang memperoleh 9A, berkata program itu banyak membantunya mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM.
“Program ini bersistematik dan banyak membantu saya memperoleh pelbagai ilmu serta memperbaiki kelemahan sedia ada.
“Anugerah
ini memberi motivasi kepada saya untuk terus mencipta kejayaan dan
mengejar cita-cita sebagai doktor,” katanya yang kini sedang mengikuti
kursus Program Asasi Sains di Universiti Malaya.
Program Lestari Cemerlang akan diteruskan di SMK Undang Jelebu, Kuala Klawang, Negeri Sembilan selepas ini.
Sumber : Harian Metro
Guru PSS Pn. Noor Fariza Abdul Rahman menerima hadiah penghargaan.
Pengetua SMK Slim Pn. Hjh> Siti Mariam Bt Hj. Joned
Koir SMK SLIM
Berita berkaitan di Harian Metro